Kuala Terengganu, 8 Februari 2018 - YB Menteri Pendidikan Malaysia Dato' Seri Mahdzir bin Khalid telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Pejabat Pelajaran Daerah Marang di Mukim Rusila, Marang yang berlangsung pada jam 9.30 pagi. Majlis ini turut diserikan lagi dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, YB A. Latiff Awang yang juga merupakan ADUN Pengkalan Berangan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Pelajaran) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Dato Khalid bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, YBhg. Dr. Haji Zainal Aalam bin Hassan, Pegawai Kemajuan Negeri Terengganu, YBhg. Dato' Indera Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Tuan Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussin dan barisan kepimpinan Negeri dan Persekutuan diantaranya Pegawai Daerah Marang serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Projek ini dianggarkan menelan belanja sebanyak RM10.5 juta dan mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan. Ianya bakal dilaksanakan dalam dua (2) fasa. Fasa pertama melibatkan pembinaan bangunan pejabat manakala fasa kedua akan meliputi skop pembinaan dewan serbaguna. Berdasarkan perancangan semasa, projek ini telah bermula sejak Januari 2018 dan dijangka siap pada bulan Julai 2019.
YB. Menteri Pendidikan Malaysia turut menyatakan penghargaan di atas khidmat bakti warga pendidik di Daerah Marang khususnya dan di Negeri Terengganu amnya dalam usaha mendidik anak bangsa dan berjaya mengekalkan kecemerlangan pendidikan di negeri ini. Beliau turut menyatakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang telah diperkenalkan di sekolah-sekolah merupakan salah satu inisiatif KPM dalam mencorakkan pelajar-pelajar untuk meneruskan kelangsungan agenda Transformasi Nasional 2050 atau TN50.
Majlis berakhir pada jam 11.00 pagi. |